<![CDATA[AKADEMI JAWI MALAYSIA - Cerita Jawi]]>Tue, 28 Aug 2018 14:05:32 +0800Weebly<![CDATA[PAGAR atau PĚGAR?]]>Tue, 10 Jul 2018 05:13:05 GMThttp://akademijawi.my/cerita-jawi-958685/pagar-atau-pegarPenjelasan Berdasarkan ‘Ilmu Jawi

Masalah:
Riuh tidak lama dahulu orang mempertikaikan bacaan kalimah peribahasa Jawi, "PAGAR / PĚGAR, makan padi" (ڤاكر \ ڤݢر). Dikatakan selama ini kita tersalah baca "PAGAR". Dan sandarkan bahawa sepatutnya ia dibaca dengan "PĚGAR". Antara alasannya ialah:
a. "PAGAR" secara harfiyyahnya tidak boleh "makan". Hanya kemungkinan bacaan "PĚGAR" sahaja yang tepat, yang memiliki keupayaan untuk "makan".
b. Disebabkan "PĚGAR" sifatnya cukup untuk "memakan" padi - kerana ia bermulut dan berperut - maka dianggap bacaan "PAGAR" salah.
Lanjut mengenai alasan-alasan itu, boleh lihat pautan di bawah:
http://yunimaha5-lestaribestari.blogspot.my/2012_01_01_arch…

Persoalan:
Adakah penilaian bacaan "PAGAR" sebagai "PĚGAR" itu dapat dipertanggungjawabkan? Bukankah alasan-alasan di atas hanya bersifat keraguan yang tidak dapat dipertanggungjawabkan secara ‘ilmiyyah?
Bagaimanakah fungsi ‘ilmu Jawi dalam menentukan bacaan yang tepat?
Dalam disiplin ‘ilmu Jawi, sesuatu bacaan huruf, perkataan, kalimah dan persuratan Jawi itu perlu disandarkan dengan hujah, yang berasaskan ruju‘kan silang, lisan yang sahih dan ta‘aqulan yang tepat.
Berikut disenaraikan hujah-hujah bacaan PAGAR sebagai PAGAR, bukan PĚGAR.
Hujah 1: Ruju‘kan Silang
i. Semakan kepustakaan Jawi tidak memungkinkan bacaan PĚGAR.
a. (ڤاݢر ماكن تنامن (اتاو ڤادي - Peribahasa no. 1992, ms. 290.
dipetik daripada "Tikaman Bahasa" oleh al-Ḥāji Enche' Aḥmad Ismā‘īl al-Ḥikmah (Dato' Lela Negara) (Kelantan: The Al-Hikmah Press, 1953).
Terdapat huruf alif selepas Pā pada perkataan ڤاݢر, justeru mustahil bacaannya sebagai PĚGAR. Bacaan ě hanya boleh jika tiada ا selepas ڤ.
b. PAGAR MAKAN PADI - Peribahasa no. 653, ms. 75.
dipetik daripada "Kitab Kiliran Budi" oleh Shellabear dan Sulaiman bin Muhammad Nor (Singapura: Malaya Publishing House Limited, 1956).
Tersurat bahawa ejaan RUMI untuk peribahasa ini ialah "PAGAR" bukan "PĚGAR".
c. Kalaupun ejaan yang dida‘wa sebagai PĚGAR itu seperti ini: ڤݢر, ya‘ni tiada huruf saksi alif (ا) selepas pā (ڤ) pada sukukata pertamanya, ini tidak berma‘na bacaannya tidak boleh dibaca dengan vokal "a".
Terdapat contoh bahawa, sungguhpun tiada huruf saksi alif pada sukukata pertama, tetap bacaannya berbunyi "a", bukan "ě", seperti contoh sebutan nama negeri PAHANG, dieja dalam Jawinya: ڤهڠ, bukannya "PĚHANG". Sukukata pertama ڤهڠ berbunyi "a" meskipun tidak dibubuh huruf saksi alif (١).
d. Dalam beberapa ruju'kan, "PĚGAR" tidak wujud sebagai satu perkataan tunggal, tetapi sering disebut "AYAM PĚGAR". Kenapakah peribahasa itu tidak berbunyi, "Harapkan [ayam] PĚGAR, [ayam] PĚGAR makan padi."
e. Tidak dinyatakan sumber rujukan Burhanuddin al-Helmy yang dida‘wa mempertikaikan bacaan PAGAR bagi tujuan semakan lanjut. Hanya duga-dugaan dan keragu-raguan dilemparkan menggunakan nama beliau.
Hujah 2: Lisan yang Sahih dan Ta‘aqulan yang Tepat
Masalah yang mendasari polemik "PĚGAR" ini disebabkan tiada ta‘aqulan yang tepat ‘aqibat kita mempertikaikan lisan yang sahih. Ini disebabkan, sudah diketahui secara mutawatir dan ma‘ruf bahawa orang Melayu menyebut peribahasa ini dengan fasih sebagai "Harapkan PAGAR, PAGAR makan padi" untuk ma‘na bahawa "perbuatan khiyanat oleh seseorang yang diamanahkan".
Hujah ta‘aqulan yang tepat disandarkan kepada bukti-bukti berikut:
a. Sifat perkataan Melayu yang mampu mengambil maqsud harfi (literal) dan ma‘nawi (abstract). Kehebatan balaghah bahasa Melayu terletak pada lafaz yang diqiyaskan pada ma‘na yang lebih abstrak. Dalam contoh bahasa ‘Arab, istilah "asad (singa)" digunakan untuk menunjukkan kegarangan. Contohnya,
زيد كالأسد
Zayd itu seperti singa.
bermaqsudnya bahawa Zayd itu bukanlah singa, tetapi memiliki sifat yang garang seperti singa (ke-singa-an).
Justeru, hujah bahawa "PAGAR" tidak boleh "makan" tidak tepat kerana "makan" di sini tidak berma‘na dengan bermulut dan berperut, tetapi dengan ma‘na abstrak "menganiayai, menzalimi, mengkhiyanati". Contoh peribahasa lain yang menggunakan istilah "makan" seperti: MAKAN RASUAH, MAKAN HATI dan sebagainya. Jelas menunjukkan bahawa "rasuah" dan "hati" tidak mempunyai mulut dan perut untuk melakukan kerja "MAKAN".
b. Adakah PAGAR digunakan untuk menjaga padi, sebenarnya? Jawapannya, ya! Pemerhatian yang lebih tajam diperlukan, hasil daripada pengalaman masharakat yang betul-betul tinggal atau berasal dari negeri Jelapang Padi. Padi secara adatnya dibahagi-bahagikan mengikut permatang atau secara lisannya disebut "ban".
Dengan menggunakan qa‘idah ta'aqulan yang tepat, fikiran kita perlu mencari sebab kenapa pagar itu dipasang. Antara lain, sememangnya ada keperluan mendesak untuk "menjaga" padi tersebut daripada "musuh", justeru pertahanan yang paling boleh diharapkan adalah dengan membina "pagar". Lihat di kiri dan kanan Lebuh Raya PLUS dari Gurun menghala ke Alor Star, yang ditutup dengan "pagar". Apakah fungsinya? Bukankah untuk "menjaga" daripada pencerobohan dari/ke bendang dari/ke lebuh raya.
c. Adakah PĚGAR digunakan sebagai penjaga padi, sebenarnya? Jawapannya, tidak! Kawalan makhluk perosak di bendang atau sawah menggunakan burung hantu atau helang sawah yang lebih efektif. Kenapakah orang Melayu begitu "bijak" mengharapkan haiwan yang diketahuinya akan makan "padi"-nya?
Kesimpulan:
Dengan hujah-hujah yang dibentangkan ini, maka keraguan dan dugaan terhadap bacaan tepat kalimah:
هرڤكن ڤاݢر، ڤاݢر ماكن ڤادي
dapat dirungkaikan dan dipecahkan. Dapatlah disandarkan dengan yaqin bahawa bacaannya yang benar ialah: "HARAPKAN PAGAR, PAGAR MAKAN PADI".
Perlulah dikembalikan bacaan yang benar ini bersandarkan hujah ruju‘kan silang, lisan yang sahih dan ta‘aqulan yang tepat yang terangkum dalam ‘ilmu Jawi.

Sekian,
Muhammad Syukri Rosli, 
Pengasas-Pengarah Klasika Media.
Sekalung penghargaan buat Sarah Syazwani selaku editor Klasika Media yang membantu mendapatkan ruju‘kan gambar-gambar di atas.
]]>