Ketahuilah!
Merdeka adalah kebebasan dalam memilih hal yang lebih baik.
Dalam kemeriahan suasana bulan kemerdekaan ini, istilah merdeka cukup biasa disebut orang.
Ghalibnya kadangkala sehingga terlepas renungan maqsud daripada tilikan ‘aqal.
Justeru, marilah kita bersama-sama mengamati baris-baris kata di atas, moga-moga dapat membuahkan panduan.
حقيقة دنيا لاؤتن اوجين
Haqiqat dunia lautan ujian
Tidakkah kita mengakui keadaan ini – setiap hari yang ditempuhi insan baik yang sukar-mudah, pahit-manis, indah-buruk, semuanya medan ujian yang bakal dinilai kelak. Bagaikan lautan yang luas, terkadang tenang, terkadang badai, demikian jugalah hidup. Ujian akan sentiasa hadir dalam kehidupan.
هيدوڤ إنسان مڠمودي ڤيليهن
Hidup insan mengemudi pilihan
Sesungguhnya insan itu dikurniakan ‘aqal. Dengan kurniaan inilah sebarang ujian dalam hidup dapat diletakkan sesuai dengan tuntutan shari‘ah. Dan memang, hidup insan itu sentiasa dalam keadaan berikhtiyar membuat pilihan.
سيسيهكن دهولو نفس الحيوان
Sisihkan jauh nafs al-hayawan
Jika direnungi, memang ada pada sisi insan yang sifatnya sama seperti binatang. Satu daya dalam diri untuk memenuhi kehendak hidup yang zahir. Namun, jika sisi ini tidak dipandu dengan ‘aqal, maka, tiadalah bezanya insan dengan binatang itu. Maka, dia perlulah senantiasa dalam pimpinan ‘aqal.
تيمبولله يڠ باࢨق دبواة تيمباڠن
Timbullah yang baik dibuat timbangan
Apabila sifat kebinatangan itu sudah ditundukkan; terhindarlah ia daripada memperhambakan ‘aqal. Baharulah kini jelas terbayang pada mata aqal untuk menilai perihal yang baik-baik.
Shahdan, dalam kecanggihan dan kemodenan yang dikecapi tanah air kita pada hari ini, apakah dapat kita simpulkan yang kita ini sebenarnya merdeka?
ความคิดเห็น