Mencerap Anak Bulan Shawwal 1446H
- أمير أشرف روسدين
- 1 hari lalu
- 3 min membaca
Pengalaman penulis mengikuti majlis cerapan di Kuala Langat, Selangor

Pada petang Ahad, 30 Mac 2025 yang lalu bersamaan 29 Ramadan 1446H, penulis menyertai majlis cerapan anak bulan Ramadan 1446H yang diadakan di Baitulhilal Bukit Jugra, Kuala Langat, Selangor.
Majlis ini dianjurkan oleh Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Selangor, dan disertai oleh pelbagai agensi berkaitan seperti Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Kuala Langat, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) dan turut juga disertai oleh orang awam.
Di negeri Selangor, majlis cerapan dilakukan di 3 tempat daripada keseluruhan 29 tempat yang diwartakan di Malaysia. Selain di Bukit Jugra ini, cerapan turut dilakukan di Baitulhilal Bukit Melawati, Kuala Selangor; dan Balai Cerap Selangor (BCS), Sabak Bernam.


Istimewa kali ini, Bukit Jugra menjadi lokasi utama cerapan di Selangor dengan kehadiran YAB Dato' Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Haji Amiruddin Shari dan YAD Sahibus Samahah Dato' Mufti Selangor, Dato' Setia Dr. Haji Anhar Opir.
Ketika penulis tiba dalam pukul 6:45 petang, majlis bacaan Yasin dan ta'limat ringkas sedang berlangsung di bangunan surau Baitulhilal sebelum cerapan bermula.

Manakala di ruang tinjauan beberapa puluh anak tangga di atas, sudah dipenuhi dengan para pegawai dan ahli falak yang terlibat. Peralatan seperti teleskop, total station dan skrin sudah sedia terpasang. Semakan demi semakan dilakukan agar peralatan benar-benar ditalakan ke arah yang sepatutnya. Orang awam pula mula menyertai ruangan dengan pelbagai ragamnya.
Adapun cuaca pada hari cerapan ini tidaklah begitu mengizinkan. Sejak tengahari lagi, awan tebal meliputi hampir keseluruhan langit negeri Selangor. Ketika penulis tiba di sini, keadaan mendung ditambah jerebu dan hujan renyai-renyai nampaknya menambahkan lagi kesukaran cerapan anak bulan ini.


Setelah bacaan Yasin selesai, tetamu-tetamu kehormat menyertai bersama di ruangan tinjau. Sementara menunggu waktu maghrib, para pegawai giat memberi penerangan kepada tetamu kehormat dan hadirin tentang cerapan kali ini.

Di Malaysia, qa'idah yang dipakai dalam menentukan anak bulan Hijrah ialah ru'yah dan hisab - atau istilah teknikalnya "imkanurru'yah", ertinya "kebolehnampakan" anak bulan. Ringkasnya, perhitungan matematik dilakukan dahulu bagi menentukan di manakah kedudukan bulan, sebelum ia dicerap secara langsung pada hari kejadian.
Perhitungan ini meletakkan syarat minima bahawa ketika matahari terbenam, altitud (ketinggian) bulan mestilah tidak kurang daripada 3° dari garis ufuk, dan elongasi (jarak lengkung) bulan relatif dari matahari mestilah tidak kurang daripada 6° 24'. Jika melepasi syarat ini, maka bulan dianggap boleh kelihatan apabila cerapan dilakukan.
Apapun, keputusan akhir bulan baharu tetaplah dimu'tamadkan selepas selesainya cerapan di kesemua 29 tempat yang diwartakan seluruh negara, yang kemudiannya akan di'umumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada pukul 8 malam itu.
Adapun pada hari kejadian ini, setelah matahari terbenam, altitud hilal agak tinggi iaitu 10° 36' 12"; manakala elongasinya juga jauh iaitu 13° 44' 33"—melepasi syarat minima kebolehnampakan anak bulan. Mudah kata, dalam keadaan cuaca yang cerah, hilal memang boleh dilihat. Perincian data anak bulan bolehlah dilihat pada rajah di bawah ini:

Sebagai seorang peminat ilmu falak, penulis merasa teruja apabila kedudukan anak bulan berada setinggi ini pada 29 haribulan Ramadan. Dengan harapan, dapatlah melihat anak bulan dengan mata kepala sendiri apabila hadir ke tempat cerapan yang sesuai seperti ini.
Setelah berkumandangnya azan maghrib, dan kami mengunyah bungkusan berbuka yang diedarkan urusetia, bermulalah proses cerapan. Namun takdir menentukan, bahawa awan tebal, hujang renyai-renyai dan jerebu sederhana memang betul-betul tidak mengizinkan anak bulan dilihat.
Ketika ini, sudah beredar di kalangan kami khabar-khabar bahawa anak bulan sudah pun kelihatan di Kota Kinabalu, Sabah satu jam yang lalu. Alhamdulillah, nampak gaya berayalah kita esok hari. Kawan-kawan pun sudah mengirim pertanyaan kepada penulis, nampak atau tidak anak bulan itu? Dengan jawapan berseloroh, tunggu sajalah peng'umuman beberapa minit lagi!
Setelah beberapa ketika, kami turun ke bawah untuk bersembahyang maghrib dan jamuan berbuka puasa bersama-sama. Segelintir pegawai masih bergantian meneruskan cerapan—memenuhi tugasan yang diamanahkan. Tidak lama kemudian berakhirlah majlis cerapan rasmi ini, dan kedengaranlah takbir raya bersahut-sahutan menandakan masuknya Shawwal 1446H.


تقبل الله منا ومنكم صالح الأعمال وكل عام وأنتم بخير.
سلامة برهاريراي.
Karangan ini adalah pandangan peribadi pengarang. Ia tidak semestinya mencerminkan pandangan dan pegangan Akademi Jawi Malaysia.
Dapatkan beberapa judul pilihan kami yang menyentuh perbicaraan tentang falak.
Comments