Akademi Jawi Malaysia baru-baru ini telah diundang ke Jakarta untuk berkongsi perihal sejarah dan ‘ilmu Bahasa Jawi kepada pecinta ‘ilmu di Indonesia. Pengerusi Akademi Jawi Malaysia (AJM), Muhammad Syukri Rosli diiringi oleh pegawai jualannya, Muhammad Farid Akrab Shuib telah berlepas ke Indonesia pada 18 Februari 2023.
Sambutan
Wakil AJM disambut mesra oleh tuan rumah, para guru dan pegawai dari Pesantren At-Taqwa, Depok (At-Taqwa). Dalam pertemuan pertama rombongan AJM dan Pondok Pesantren At-Taqwa, kami telah membincangkan perihal usaha yang boleh didayakan bagi menghidupkan tradisi dan budaya karang-mengarang dalam Jawi di Indonesia.
Pada sebelah malamnya pula, wakil AJM telah berkesempatan bertemu dengan kumpulan pemikir dan pengarang muda yang bergiat di Jakarta, iaitu Circle of Ta'dib and Islamization of Knowledge (CADIK). Perbincangan bersama ini diketuai oleh Saudara Yogi Theo Rinaldi, salah seorang pengasas CADIK yang juga mengusahakan sebuah kedai buku bernama Lubukata di Kalibata, Jakarta.
Seminar dan Pelatihan Bahasa ‘Arab-Melayu
Pada 19 Februari 2023, Saudara Muhammad Syukri Rosli telah diundang untuk mengisi majlis ‘ilmu satu hari: Seminar dan Pelatihan Bahasa ‘Arab-Melayu, anjuran Pesantren At-Taqwa yang diadakan di bangunan seminar INSIST, Kalibata, Jakarta.
Seminar ini telah dimulai dengan ucapan pembukaan oleh Dr. Suidat, guru sejarah di At-Taqwa, disusuli pula dengan ucapan perasmian oleh Dr. Adian Hussaini, pengasas dan pengarah At-Taqwa.
Seminar dan Pelatihan ini bertujuan untuk memperkenalkan para pencinta ‘ilmu dengan sejarah dan falsafah Bahasa Jawi (disebut ‘Arab-Melayu di Indonesia) kemudian melatih mereka untuk dapat mengarang dalam sha‘ir Jawi. Dalam pembentangan saudara Muhammad Syukri Rosli, beliau memperihalkan bagaimana Islam dan gerak daya pengislaman telah memberi pengaruh besar kepada perkembangan bahasa, persuratan dan peradaban Melayu.
Beliau telah menjelaskan mengenai susur galur sejarah perkembangan Bahasa Jawi dan menunjukkan tiga sisi penting penghayatannya, iaitu melalui pengetahuan mengenai:
Sejarah dan Falsafah Pengislaman Bahasa dan Budaya Melayu
Cabang-cabang ‘Ilmu Bahasa Jawi
Persuratan dan Kesusasteraan Bahasa Melayu-Jawi
Pengislaman Bahasa dan Bahasa Islam
Tumpuan utama pembentangan beliau ialah tentang susur galur Bahasa Jawi ini dapat dijejak hingga Nabi Muḥammad ṣallā Allāh ‘alayhi wa sallam. Dalam pandangan ‘alam Islam, bagindalah sebaik-baik insan dan sefasih-fasih lisan. Bermula daripada baginda, intisari wahyu al-Qur’an dipupuk dan diajarkan dan berkembangnya tradisi ke‘ilmuan Bahasa ‘Arab yang baharu.
Perkembangan tradisi ke‘ilmuan Bahasa ‘Arab yang baharu ini kemudian mempengaruhi tradisi ke‘ilmuan bahasa-bahasa Islam yang lain, termasuklah Bahasa Melayu-Jawi.Gerak daya pengaruh Islam terhadap bahasa ini, dikenali dengan istilah "pengislaman bahasa" dan hasil daripada pengislaman bahasa ini, lahirlah kumpulan "bahasa Islam." Gagasan dan konsep pengislaman bahasa ini diperkenalkan oleh Tan Sri Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas, melalui sharahan profesorialnya, Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu.
Salah satu ciri penting bahasa Islam ialah keberadaan sejumlah istilah ‘Arab yang ma‘nanya berdasarkan al-Qur’an dan ke‘ilmuan Islam. Bahasa Melayu mempunyai kurang-lebih 2,500 patah perkataan ‘Arab yang menyerap menjadi sebahagian bahasa Melayu itu sendiri. Melalui gerak daya pengislaman bahasa juga, lahir satu tradisi persuratan yang baharu, iaitu yang menggunakan huruf ‘Arab yang disesuaikan dengan bahasa Melayu.
Ta‘rif Bahasa Jawi
Dalam pembentangan, Muhammad Syukri telah menjelaskan perihal penggunaan istilah "Jawi" di Semenanjung dan "‘Arab-Melayu" di Indonesia. Menurutnya, perbezaan istilah ini dapat diselesaikan dengan perincian ta‘rif Bahasa Jawi itu sendiri iaitulah:
Bahasa Melayu yang disuratkan dengan huruf ‘Arab yang dimelayukan.
Ta‘rif ini mengambil kira darjat-darjat bahasa dalam Bahasa Melayu (bahasa pasar, bahasa tutur dan bahasa surat) dan gerak daya penyesuaian beberapa huruf ‘Arab untuk melambangkan bunyi khusus Melayu (ڤ چ ݢ ڽ ڠ).
Persuratan Bahasa Jawi
Persuratan Jawi telah membentuk 3 bidang pengarangan utama iaitulah:
Karangan atau prosa
Sha‘ir yang merangkumi gurindam, pantun dan ruba‘iyyat
Warqah atau surat
Setiap satu bidang ini ditadbir oleh 6 bidang ‘ilmu bahasa Jawi iaitulah:
‘Ilmu Huruf dan Ejaan Jawi
‘Ilmu Tanggaman Jawi
‘Ilmu Jalan Bahasa Jawi
‘Ilmu Gubahan Ma‘na Jawi
‘Ilmu Mengarang Jawi
‘Ilmu Sejarah dan Falsafah Jawi
Persuratan Bahasa Jawi juga menyaksikan keberhasilan karangan ke‘ilmuan bermula dari abad ke-15. Ia ditandai telah kemunculan tokoh seperti Ḥamzah al-Fanṣūrī; Nūr al-Dīn al-Rānīrī, ‘Abd al-Ra’ūf al-Fanṣūrī, Dāwūd al-Faṭānī, Raja ‘Alī Ḥāji, Wan Aḥmad Muḥammad Zayn al-Faṭānī, Za‘bā dan Syed Muhammad Naquib al-Attas.
Walau bagaimanapun, tradisi persuratan Bahasa Jawi mengalami penyusutannya pada abad ke-20, ‘aqibat perubahan besar-besaran huruf Jawi ini dengan tulisan Rumi untuk negara bangsa Indonesia dan Malaysia.
Pelatihan Mengarang Jawi
Pendekatan istimewa yang dibawa oleh Akademi Jawi Malaysia dalam membudayakan persuratan Jawi ialah dengan latihan mengarang sha‘ir Jawi. Adapun latihan ini bermula pada sebelah petang dan para peserta diberi panduan untuk cuba mengarang sha‘ir Melayu-Jawi. Pembimbing latihan, Muhammad Syukri Rosli, telah memperkenalkan naskhah Lidah Melayu karangan Aḥmad Ya‘qūb al-Johori (m. 1958M) yang dalamnya terkandung mengenai Faṣal Mengarang Sha‘ir.
Dalam pelatihan ini, para peserta telah berdaya menghasilkan 1 rangkap 4 baris sha‘ir dengan saja‘ dan qāfiyah yang sama, dengan binaan 10 bunyi. Bahkan, sha‘ir yang telah dikarangkan itu juga diacukan dengan beberapa lagu Melayu bagi disesuaikan dengan timbangan yang baik dan sempurna. Sejumlah 4 rangkap sha‘ir berjaya dibentang dan dipersembahkan serta telah disunting dengan timbangan ‘ilmu sha‘ir.
Ceramah Bahasa Jawi
Pada 20 Februari 2023, wakil AJM telah diundang untuk menyampaikan ceramah kepada para santri Shoul-Lin, Pristac dan ATCO di Pesantren at-Taqwa, Depok. Ceramah ini memperihalkan kandungan yang sama sepertimana seminar yang telah diadakan semalamnya, namun dengan pendekatan yang lebih ringan dan menumpukan sisi seni persuratan sha‘ir dan penghayatan sejarah.
Para santri telah mengambil peluang dalam ceramah ini untuk bertanyakan so’alan-so’alan berkaitan sejarah dan petua bagaimana untuk mulai terlibat dalam kerja karang-mengarang Jawi ini. Adapun Muhammad Syukri Rosli mengusulkan bahawa penghayatan Bahasa Jawi boleh dimulakan di peringkat pembudayaan, kemudian pengkaryaan dan akhirnya menjadi sebuah pekerjaan.
Lawatan ke Perpustakaan Nasional
Dalam kesempatan ziyarah ke Jakarta wakil AJM juga telah dibawa melawat Perpustakaan Nasional Republik Indonesia yang terletak di Jakarta Pusat. Dalam lawatan ini, wakil AJM yang diiringi oleh Dr Ardiansyah dan Ustadh Azzam telah dibawa melihat beberapa judul manuskrip Melayu-Jawi yang disimpan di tingkat 9. Salah satu unsur persuratan Melayu-Jawi yang dipaparkan di perpustakaan ini ialah tayangan bacaan Gurindam Dua Belas oleh Raja Ali Haji pada layar di pintu masuk utama perpustakaan.
Jalinan Kesatuan
Seminar dan Pelatihan Bahasa Jawi, pertemuan, ceramah dan lawatan yang dianjurkan oleh Pondok Pesantren at-Taqwa dengan kerjasama Akademi Jawi Malaysia membuktikan bahawa jalinan kesatuan agama, bahasa dan budaya telah berakar dan tumbuh dalam sejarah dan peradaban Melayu-Indonesia. Usaha menghidupkan tradisi ke‘ilmuan dan kebudayaan Bahasa Jawi pada zaman ini dapat dihidupkan dengan kerjasama aqrab dua negara berkembar agama, kebangsaan dan kebudayaan ini. Seperti ungkapan sha‘ir
دوا نݢري ساتو ڤكاتن
سام برسام ساتو فكران
سام بهاس سام ڤرسورتن
ساتو اݢام ساتو ڤرأدابن
Dua negeri satu pakatan
Sama bersama satu fikiran
Sama bahasa sama persuratan
Satu agama satu peradaban
Untuk membaca laporan dari santri at-Taqwa, klik sini.
Penghargaan buat Pak Indra Supono, ahli lembaga pengasas Pesantren at-Taqwa atas perkongsian gambar untuk siaran ini.
Comments