Baru-baru ini kami ditanya, apa gunanya memperjuangkan Jawi Tradisi untuk dibawa ke masa hadapan. Tentu so’alan beginilah yang menuntut renungan yang mendalam.
Masakan tidak!
Sudah lebih lima belas tahun saya melibatkan diri membina sharikat dan pasukan. Sudah begitu banyak wang, masa dan keringat dibelanjakan untuk memastikan Akademi Jawi Malaysia terus berjalan teguh ke hadapan.
Jadi, jawapan itu perlulah mencerminkan apa yang sekian lama dihidupi dan difahami - sehingga membuahkan cita-cita dan tekad perjuangan.
Adapun kami memilih untuk menjawab dari sudut budaya - yang pada himmah saya ialah sesuai dengan konteks masharakat berbilang bangsa merentas agama.
Pertama, Jawi Tradisi ialah cerminan fikiran rasional dan saintifik. Binaan bahasanya terdiri daripada 5 disiplin ilmu - huruf-hejaan; tanggaman; jalan bahasa; gubahan ma’na dan karang-mengarang. Ialah bahasa surat Melayu yang bertatalojika. Ialah bahasa yang kosa katanya kaya menyatakan realiti seutuhnya. Ialah bahasa yang terbukti menzahirkan kesepaduan alam inderawi dan ruhani benar pada tempatnya.
Kedua, Jawi Tradisi ialah gambaran internasionalisme. Penggunanya bukan sahaja penutur jati Melayu semata, bahkan dalam rantau ini ia turut menjadi bahasa perantara bagi pedagang dan juga penjelajah. Karangannya dikarang sejauh Timur Tengah. Sehingga kini naskhahnya dikaji di pelbagai institusi di Eropah. Rangkuman hampir 300 juta penutur bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan negara-negara di Asia Tenggara ialah natijah daripada berkesannya sebaran bahasa Jawi Tradisi ini dahulu.
Ketiga, Jawi Tradisi ialah hasil demokrasi budaya ‘ilmu. Jika seseorang itu ialah buruh, nelayan dan juga petani - layaklah ia membaca karangan ‘aqidah, fiqh dan tasawwuf asalkan tahu dia membaca dan memahaminya. Jawi Tradisi bukanlah ia terhad di balik dinding istana atau kraton. Budaya ‘ilmu yang termaktub dalam bentuk manuskrip Jawi ini bukan sahaja boleh ditemukan di tengah kota, bahkan di rumah-rumah dan surau-surau di ceruk-ceruk kampung dan pedalaman. Hatta kalau giat dicari, banyak yang baru masih boleh ditemui kini.
Jawi Tradisi sangat berjasa besar untuk peradaban Melayu-Indonesia yang debar paluan gendang ‘ilmunya masih terasa hingga kini - meskipun sekarang tidak lagi kita memakai huruf sejatinya itu.
Sanya sesungguhnya ruh ma’nawinya masih hidup dengan hidupnya ‘ilmuwannya.
Jika hari ini kita memilih untuk melupakan, mengabaikan dan meninggalkan Jawi Tradisi, nescaya kita perlu berani mengulangi semula keringat dan usaha 1000 tahun yang tidak sedikit pencapaiannya.
Jika hari ini kita menganggap bahawasanya Jawi Tradisi itu sesuai yang lapuk dan lama, kemudian pengajaran dan pembelajarannya kita gantikan dengan Jawi Baru yang kononnya lebih terkini - ‘ibaratnya memilih kaca yang palsu kilauannya daripada permata. Tidakkah kaca itu sifatnya senang berderai jika diuji.
Jika hari ini kita menceraikan ‘ilmuwan sebenar yang berdaya dan berjaya menghidupkan bahasa Jawi Tradisi ini, dan mengangkat sasterawan, penulis novel dan sajak kontot yang belum jelas bakti dan budinya kepada ‘ilmu dan persuratan, maka kita sendirilah akan dipertanggungjwabkan ‘aqibatnya oleh angkatan akan datang.
Samalah sepertimana kita sekarang yang ada mencemuh angkatan sebelum kita yang membuang Jawi sebagai bahasa kebangsaan.
Shahdan, saya menyimpulkan jawaban dengan ringkas - “Bukankah kita meminjam masa hadapan anak kita dengan mencipta sejarah masa kini?”
Semoga Tuhan mempermudahkan.
Amin.
Comments