Pemikiran Tasawwuf Muhammad Khatib Lanngin
Pada abad ke-16 dan ke-17, pemikiran taṣawwuf di Aceh telah mengalami perkembangan yang pesat. Hal ini dibuktikan dengan munculnya karya-karya penting yang dikarang oleh ulama-ulama muktabar pada zaman itu, seperti Ḥamzah Fanṣūrī, Shams al-Dīn Pasai, Nūr al-Dīn al-Rānīrī dan ‘Abd al-Ra’ūf al-Fanṣūrī. Namun, keberlanjutan tradisi keilmuan di Aceh khasnya dalam tradisi taṣawwuf selepas kejayaan abad ke-17 tidak banyak yang diketahui. Oleh itu, karya ini membincangkan perihal tradisi taṣawwuf di Aceh pada abad ke-19 dengan menelusuri kitab Mi‘rāj al-Sālikīn karya Shaykh Muḥammad Khaṭīb Langgīn (1762 M–1859 M) sebagai sumber rujukan utama. Kajian ini juga memperkenalkan kitab Mi‘rāj al-Sālikīn sebagai salah satu sumber yang merakam sejarah perkembangan tradisi taṣawwuf di Aceh pada abad ke-19 dan juga mengkaji ajaran taṣawwuf Khaṭīb Langgīn yang ada di dalamnya. Metodologi yang digunakan adalah analisis sejarah teks dan kandungan kitab Mi‘rāj al-Sālikīn. Kitab tersebut merupakan sebuah kitab yang penting serta menjadi rujukan bagi tariqat Shaṭṭāriyyah di Aceh pada abad ke-19. Kitab ini tidak hanya mengandungi tatacara tariqat seperti talqin dan bay‘at dalam tariqat Shaṭṭāriyyah, tetapi juga menerangkan aspek-aspek penting dalam taṣawwuf yang mesti diketahui oleh seseorang sālik supaya dia mencapai kesempurnaan dalam amalan taṣawwufnya. Tambahan pula, berkenaan dengan perkembangan taṣawwuf, Shaykh Khaṭīb Langgīn juga menyebutkan bahawa pembahasan ma‘rifat adalah sesuatu yang sudah jarang diperkatakan pada zamannya. Oleh itu, beliau sangat berhati-hati dalam menerangkan idea-idea taṣawwuf kepada muridnya. |